Saturday, 7 December 2019


NAMA AHLI KUMPULAN



1) NURSYAZA NASUHA BINTI MOHD SOBRI          (D20182086263)
2) NOOR SYAKIRIN BINTI SHUKRI                           (D20182086260)
3) NURHASYA HUSNA BINTI KASSIM                      (D20182086240)
4) NUR FARIZATUL FAZLIN BINTI NA'AIMI            (D20182086225)

Pengenalan



Pengurusan bilik darjah merupakan set tingkah laku guru yang meliputi pelbagai aspek di mana guru akan membentuk dan mengekalkan suasana pembelajaran seperti diharapkan. Lernlech (1988) mengibaratkan pengurusan bilik darjah sebagai okestra dalam kehidupan di bilik darjah yang memerlukan pembentukan kurikulum, penyelenggaraan prosedur dan sumber pengajaran. Beliau juga menekankan tentang pentingnya penyusunan suasana bilik darjah bagi memaksimakan keberkesanan,pemantauan perkembangan pelajar serta tanggungjawab guru dalam memikirkan terlebih dahulu masalah-masalah yang mungkin akan timbul. Menurut Levin dan Nolan (2004), lebih mudah bagi kita untuk membezakan antara dimensi arahan dan pengurusan dalam pengajaran dan membezakan tumpuan kepada pentingnya aspek keberkesanan dalam pengurusan bilik darjah itu sendiri. Menurut kedua-dua pakar ini, mereka berpendapat bahawa kedua-dua aspek arahan dan pengurusan merupakan proses yang mempunyai tujuan di mana tindakan dan sikap guru itu bertindak untuk memudahkan objektif yang ingin dicapai oleh guru itu sendiri dalam pengajaran dan pembelajaran.

1) Bahan Bantu Belajar


Bahan bantu pelajar merupakan antara bahan yang terpenting dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdPc) pelajar seharian. Bahan bantu belajar bukan hanya terhad kepada buku teks, papan tulis, kapur dan gambar-gambar sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang digunakan dalam pembelajaran dan pengajaran yang melibatkan semua pancaindera, merangkumi apa sahaja yang dapat dialami oleh para pelajar. Bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru sekurang-kurangnya boleh dibahagikan kepada tiga kategori yang terdiri daripada pelbagai jenis, iaitu bahan bantu mengajar bukan elektronik, bahan bantu mengajar elektronik dan bahan bercorak pengalaman dan bahan sebenar.

            Antara bahan bantu pelajar dalam kelas ialah adanya papan kenyataan di hadapan dan belakang kelas. Papan kenyataan hadapan khusus kepada carta organisasi kelas, jadual bertugas dan jadual waktu. Manakala papan kenyataan di belakang pula merupakan sudut bacaan atau info kepada pelajar-pelajar untuk lebih mengetahui apa yang dipelajari oleh mereka. Sebagai contoh sudut bacaan matematik, pelajar atau guru memainkan peranan dalam menentukan atau membuat formula-formula berkaitan dengan cara pengiraan dan jawapan bagi setiap formula. Setiap papan kenyataan mengandungi semua subjek yang dipelajari oleh pelajar dalam kelas tersebut. Selain itu kemudahan LCD pula dilakukan sewaktu pelajar berada di dalam makmal atau bilik darjah itu sendiri. Dengan adanya LCD ini akan menarik minat pelajar untuk lebih fokus di dalam kelas kerana di zaman era global ini murid lebih meminati bahan berunsurkan elektronik berbanding belajar secara formal yang biasa dilakukan.

            Justeru, guru memainkan peranan yang sangat penting dalam mempelbagaikan bahan bantu belajar ini agar murid-murid dapat memahami dengan lebih mudah apa yang mereka belajar dan pada masa yang sama tidak merasa bosan dan mengantuk ketika belajar.



           


2) Penyimpanan Rekod Pelajar


Maklumat peribadi murid-murid dapat membantu guru menentukan aktiviti atau pengalaman yang sesuai dengan minat murid. Maklumat seperti ketinggian dan berat badan murid memberitahu guru jika kadar pertumbuhan muridnya seperti kanak-kanak biasa yang lain. Hal ini juga membantu guru dalam perkembangan diri dan sahsiah murid supaya murid berfungsi sebagai individu yang seimbang, berdikari, berpengetahuan dan berkemahiran, berfikiran kreatif dan kritikal memupuk potensi dan kebolehan ke tahap maksima dan menyuburkan potensi kepimpinan. Tambahan pula, melalui maklumat peribadi murid juga dapat memaklumkan kepada guru tentang keperluan murid-murid lain, misalnya bantuan dari segi kewangan. Murid-murid yang menghadapi masalah kewangan akan sentiasa dibantu melalui jawatankuasa yang dibentuk di sekolah. Pihak sekolah juga akan sentiasa membuka pintu kepada sesiapa yang ingin memberikan apa jua bentuk bantuan kepada murid-murid yang memerlukan bantuan. Walau bagaimanapun, pihak sekolah akan melindungi maklumat peribadi murid yang bermasalah demi menjaga maruah murid tersebut.


Maklumat ini juga memberi peluang kepada guru kelas menghubungi ibu bapa dan penjaga supaya dapat berbincang tentang anak muridnya. Guru boleh memaklumkan kepada guru ibu bapa atau penjaga jika anak mereka kurang sihat, ponteng kelas atau sekolah, tidak melaksanakan kerja rumah atau menunjukkan masalah tingkah laku yang lain serta rawatan penyakit atau kecemasan boleh diberi kepada murid ketika di sekolah. Oleh itu, maklumat seperti nama ibu bapa atau penjaga, pekerjaan ibu bapa, alamat rumah dan nombor telefon perlu ada.

3) Penyusunan Bilik Darjah

       Cara penyusunan bilik darjah adalah melalui kedudukan kerusi dan meja.  Jumlah pelajar di dalam kelas itu akan diberi tumpuan terlebih dahulu iaitu jumlah pelajar lelaki dan jumlah pelajar perempuan, bangsa dan juga kaum. Bukan itu sahaja,bahkan penyusunan meja juga berdasarkan guru kelas itu sendiri. Hal ini kerana ia akan memudahkan urusan para guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, penyusunan kerusi dan meja ini juga dibuat dalam bentuk berkumpulan bagi memudahkan perbincangan kumpulan yang akan diadakan oleh pihak sekolah ataupun guru kelas itu sendiri.

       Beberapa guru juga menyususn atur bilik darjah dalam kumpulan mengikut kaum, bangsa dan jantina. Hal ini kerana sesetengah pelajar tidak suka untuk dicampurkan dalam pelbagai bangsa dan kaum dalam satu kumpulan. Perkara ini biasanya berlaku di dalam bilik darjah tingkatan 1 ataupun menengah bawah. Hal ini kerana mereka belum mengenali pelajar dari bangsa yang lain dan perkara ini juga adalah kerana ingin mengelakkan daripada sesuatu isu berlaku. Akan tetapi bilik darjah dari kelas menengah atas, kebiasaanya disusun secara rawak. Hal ini kerana mereka sudah mengenali pelajar dari bangsa lain dan sudah pandai menggauli dan berkawan dengan mereka.  Justeru, cara yang terbaik dilakukan oleh guru kelas ialah dengan mengasingkan pelajar-pelajar mengikut bangsa, kaum dan jantina bagi menengah bawah dan secara rawak dari menengah atas. Hal ini kerana keselesaan para pelajar diberi keutamaan agar mereka dapat belajar dalam keadaan dan suasana yang kondusif.

4) Carta Organisasi Kelas


Carta organisasi kelas perlu dibentuk oleh guru kelas sejak awal persekolahan lagi. Terdapat pelbagai cara yang boleh dibuat dalam pemilihan organisasi kelas antaranya ialah demokrasi, undian dan sebagainya. Hal ini dilakukan sedemikian kerana para pelajar berhak memilih sesiapa sahaja yang mereka lihat layak dalam memegang sesuatu jawatan.

Dalam carta organisasi kelas terdapat jawatan-jawatan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah antaranya ialah ketua kelas, penolong ketua kelas, setiausaha, bendahari, ajk kebajikan, ajk keselamatan, ajk kebersihan dan keceriaan dan banyak lagi ajk-ajk yang terdapat dalam carta organisasi. Setiap ajk memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kelas dalam keadaan yang baik. Ketua kelas memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan kelas dalam keadaan baik dan tersusun. Bukan itu sahaja bahkan ketua kelas juga merupakan tulang belakang kepada guru kelas dalam meyampaikan apa-apa hal yang berkaitan dengan kelas. Manakala tugas penolong ketua kelas pula ialah pembantu kepada ketua kelas bagi memastikan kelas dalam keadaan yang selesa dan juga memastikan para pelajar tidak membuat bising.

Justeru, carta organisasi kelas memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk peribadi seorang pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga cemerlang dari sudut sahsiah.

Penutup


Sebagai kesimpulannya, pengurusan bilik darjah amatlah penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdPc) kerana melalui pengurusan bilik darjah ini pelajar dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap apa yang diajar oleh guru kerana mereka cukup selesa dengan keadaan persekitaran bilk darjah yang bersih dan teratur. Bukan itu sahja bahkan guru juga menjadi “role model”dalam pengurusan bilik darjah ini kerana tanpa adanya guru maka pelajar tidak akan mampu untuk melaksanakan pengurusan bilik darjah dengan sebaik yang mungkin. Jelaslah bahwa pengurusan bilik darjah perlu dititikberatkan oleh semua para pelajar dan guru-guru di sekolah. 


.